Monday 14 July 2014

Pesanan untuk adik-adik.

Adik-adik, jom dengar pesan abang..

Kalau diri tak secantik mana, indahkanlah dengan akhlak.
Bukanlah dengan imej k-pop, j-pop bagai sampai lupa asal mak.
Bernanah mata abang ni dek menonton imejmu yang tak kenal gaya dan warna.
Bila bajumu hijau, seluarmu pula merah menyala.

Kalau masalah datang menimpa, ingatlah Tuhan.
Tuhan itu dekat.
Tuhan itu mendengar, melihat dan memahami.
Tak guna bersengketa kalbu semata-mata masalah dunia.
Walhal kita sedia maklum akhirat kita entah ke mana hala.

Cuba kau lihat sekelilingmu adik.
Orang di sekelilingmu setuju atau tidak denganmu? Gembira tidak, adanya kamu?
Nilai pandanganmu untuk membaiki.
Bukan untuk menghukum diri.
Semoga positif memberi aura.
Bukan negatif dan sumbang auta.

Hargai temanmu adik.
Abang dah lalui hidup sendiri.
Pedihnya Allah yang saksi.
Kongsilah apa sahaja supaya tak termakan diri.
Dek masalah dunia yang tak bertepi.
Ingat Allah, ingati mati.
Semoga lurun jalannya nanti.

Pesan abang jadikan renungan.
Agar nanti memberi kesan.
Bukan nama jadi anganan.
Tapi pahala hingga ke mati jadi taruhan.

Friday 27 June 2014

Kawan Vs. Sahabat

Aku rasa tajuk ni sangat menarik untuk dibincangkan. Siapa tahu apa beza kedua-dua perkataan ni daripada segi maksudnya? Sama? Lain? Tak tahu? Hahahah. Awalnya aku pun tak faham apa beza sahabat dengan kawan. Tapi bila kita memanjat tangga usia, secara automatik kita faham 100% apa maksudnya.

Perkara ni berbangkit melalui perbualan dengan seorang kenalan di kilang tempat aku berkerja sekarang. Dia yang mula bertanya apa bezanya pada aku kira-kira setahun yang lepas, "Nizam, mu rasa, apa beza kawan dengan sahabat? Sekarang ni aku boleh cakap, aku ade seorang sahaja sahabat. Kawan-kawan ramai la.". 



Aku agak tercengang mendengar kata-kata seorang yang sudah dimamah usia ni. Sampai begitu dalam pengertian beliau tentang hidup. "Kalau kawan-kawan ni, bila senang, kita boleh nampak. Bila kita susah, susah la nak jumpa batang hidung." "Sahabat pula, sentiasa ada bersama kita. Membawa kita ke arah kebaikan. Yang Allah suka."

Jika ditanya aku, semua orang adalah sahabat. Selagi tidak dikhianati, selagi itulah kita perlu menganggap seseorang itu sebagai sahabat kita. Hargai mereka. Sayangi mereka. Tetapi kalau sudah dipijak-pijak, ditindas, dilupakan, dikhianati, ditikam belakang, eloklah berpada-pada dalam hubungan. 


Kisah ditikam belakang amatlah sinonim pada aku. Tapi jauh sekali terlintas bagi aku membalas apa-apa. Biarlah Allah yang menyayangi aku daripada aku mengharapkan hormat daripada manusia. Bagi aku, perkara yang terjadi ada puncanya. Senang, susah, semuanya sudah ditetapkan Allah. Apa yang perlu kita buat ialah menilai diri kita. Kenapa Allah wujudkan ujian sebegini? Jawapannya, supaya manusia berfikir.

Singkaplah batas fikiranmu.

Tuesday 24 June 2014

Beban atau bebas?

Assalamualaikum.

PUASA

Hari ni sudah 25 Jun 2014. Berbaki 3 hari sahaja lagi untuk kita berpuasa. Suasana menjelang puasa adalah sesuatu yang istimewa. Tak dapat diceritakan dalam bentuk ayat atau gambar rajah. Keindahan Ramadhan itu memang tiada tolok bandingnya. Tapi aku...



Tahun ni aku tak rasa macam tahun-tahun yang sudah. Keriangan atau kerinduan tidak berapa dirasai. Terasa seperti sesuatu yg menghalang aku daripada semuanya. Aku tak tahu..

HAPPY BIRTHDAY MY SON!

Baru-baru ni aku sekeluarga menyambut ulangtahun kelahiran anakku yang pertama. Alhamdulillah. Setahun yang mencabar Allah kurniakan kepada kami sekeluarga.



Membesar dan mendidik anak ni bukanlah sesuatu yang mudah. Baharu aku tahu betapa hebat dan cekalnya ibu bapa aku dalam membesarkan kami 4 beradik.

PENGGANTI

Sudah genap sebulan pembantu aku meninggalkan syarikat ni. Sudah sebulan kerja berada di tahap "slow progress". Bebanan kerja tidaklah sesukar dulu tapi kuantitinya... Allah sahaja yang tahu. Aku baru saja tamat sesi temuduga untuk mencari pengganti baru-baru ni. Alhamdulillah selesai semua urusan.

Semoga Allah permudahkan juga urusan yang akan datang. Ameen...


Wednesday 19 February 2014

This is full of ____

Minggu ni aku dapat ni <rujuk gambar>. MyGoals! Aku pun tak faham kenapa dinamakan "My" goals sedangkan goal tu sebenarnya company punya expectation, bukan aku. Hahahaha!

Yang jadi persoalan utama sekarang ni ialah,  kenapa benda ni ada atas meja aku? Pelik kan? Benda ni sekarang secara kosongnya berada atas meja aku menanti untuk diisi. Kenapa aku yang kena isi benda ni? Apakah kelebihannya mengisi penilaian sendiri?

Kerunsingan aku hanya ada 1 jawapan. Bos-bos sedunia sebenarnya amatlah pemalas atau takut untuk menilai. Kalau aku buat kerja dan aku yang nilai sendri, mestilah full marks semuanya! Dimanakah ruang untuk membetul dan memajukan diri kalau begini gayanya? Wallahu a'alam.

Duit, duit dan D.U.I.T.

"Indahnya dunia kalau boleh dapat duit banyak.."

Inilah kata-kata yang berjaya menakluk fikiran aku sebelum ni. Bagi aku, bila ada duit, banyak benda yang aku boleh buat. Termasuklah membeli barang-barang mahal sebagai hadiah kepada orang tersayang, kepuasan diri sendiri, berbelanja untuk ibu bapa dan sebagainya. Taksubnya aku pada duit ni sampaikan aku selalu berkerja keras untuk mendapatkan duit bagi mencapai kemahuan aku untuk memiliki sesuatu.

Lewat juga untuk aku sedar yang duit bukanlah segala-galanya. Selepas beroleh cahaya mata pertama, Muhammad Nawfal Rizqi, barulah aku faham persepsi aku selama ini semuanya salah. Hahaha! Kata orang, "dah tua baru nak sedar."

Sebenarnya yang penting tu hanyalah redha. Redha diri kita kepada nikmat Allah, dan redha Allah kepada kita. Aku tak nak elaborate panjang. Masa untuk semua berfikir. Selamat menyingkap batas fikiran =)


Monday 13 January 2014

Mak operate mata

Hari ni mak aku operate mata. Cataract yang dah bertahun-tahun disimpan. Alhamdulillah, operation dh tak tertangguh lagi.

Seawal pagi aku dh bercadang nak ke hospital menemani mak. Aku tahu mak takut. Mak ni walaupun daripada gaya bercakap dan lagaknya seperti sasa, tapi hatinya kecil. Mudah terusik dan penakut orangnya. Aku pergi semata-mata untuk memberi kata semangat kepada mak bersama Farah dan Nawfal.

Terukir raut wajah lega pada wajah mak apabila melihat kami. Aku suka bila mak gembira. Menyenangkan ibu bapa kan sesuatu yang wajib untuk dilakukan. Semoga Allah mewujudkan rasa redha dalam hati mak untuk kami.

Alhamdulillah operation mak berjaya. Tunggu check up esok untuk tahu lebih detail. Lepas 2 bulan, operation untuk mata yang sebelah lagi. Semoga Allah kuatkan mak. Amiinn...

Friday 10 January 2014

Satu lagi...

Satu permulaan baru. Bermula tahun baru, aku tiba-tiba rasa nak menulis semula. Jika diikutkan rasa hati, banyak yang ingin dikongsi. Semuanya bergantung kepada kekangan masa dan izin Allah S.W.T.

Terkenang peristiwa 6 tahun lepas apabila penulisanku dikecam hebat oleh pembaca-pembaca "setia" blog lamaku. Bertubi-tubi aku diasak dengan makian dan ugutan. Padahal tulisanku hanya tentang penganiayaan pada seekor kucing yang sememangnya sesuatu yang harus dikeji.

Tulisanku tak akan "menilai" sesiapa pun. Karanganku tak akan menghukum sesiapa. Kisahku tak akan membebankan sesiapa.Terpulang kepada anda semua untuk menilai. Cara penulisanku agaknya masih lagi sama. Kepada sesiapa yang sensitif, diharap jangan baca. Jika anda rasa seperti satu keperluan untuk membaca tulisanku, buka minda sebelum anda menilai. Jika apa yang kutulis tertujah di dahi, eloklah jika dijadikan renungan.

Aku tak meletak tema atau genre kepada laman ini. Biarkannya menjadi sesuatu yang bebas. Perkongsian ilmu agama, makanan, teknologi, kenangan, kehidupan seharian, bahasa melayu, english, semuanya tak penting. Asalkan maklumat itu sampai.

Selamat membaca!!